Thursday 8 December 2011

Soal Jawab Topik Tatabahasa

Soalan:
1. Cikgu, perkataan "klik" perlu dibubuh imbuhan "menge-" menjadi "mengeklik"? atau "menklik" ? atau "mengklik"?

Jawapan:

Klik ialah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, kata ini dikecualikan daripada rumus PTKS. Dalam hal ini, apabila awalan me(N)- diimbuhkan kepada kata pinjaman, ejaan untuk kata pinjaman tersebut kekal. Sebagai contohnya, kata kritik apabila menerima awalan meng- akan menjadi mengkritik. Begitu jugalah halnya dengan kata klik. Apabila kata klik menerima awalan meng-, kata itu akan menjadi mengklik, bukan mengeklik. Selain itu, rumus bahasa Melayu juga menetapkan bahawa kata yang bermula dengan huruf "k" seperti katalog, kategori, dan sebagainya akan menerima awalan meng-, bukan men-. Oleh itu, ejaan menklik tidak tepat.


2. Apakah perbezaan penggunaan "marabahaya" dan "berbahaya" mengikut pendapat Cikgu?

Jawapan:
Marabahaya bermaksud bermacam-macam-macam bahaya atau bencana, manakala berbahaya bermaksud ada bahaya atau boleh mendatangkan bahaya. Merbahaya pula ialah variasi berbahaya yang tidak baku.



3.Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul tak? Bolehkah dalam satu ayat wujudnya 2 atau 3 kata ganda?

Jawapan:
Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu perkataan "kanak" dan "masing" tidak boleh berdiri dengan sendiri.


4. Cikgu, huraikan perbezaan antara "patriotik", "patriotisme" "nasionalis", "nasionalisme". Terima kasih.

Jawapan:
Patriot bermaksud orang yang mencintai atau mempertahankan kedaulatan negaranya. Patriotik bermaksud orang yang mempunyai sifat cinta akan negaranya.
Patriotisme pula ialah semangat cinta yang kuat akan negaranya.

Nasionalis ialah pencinta bahasa atau orang yang mencintai nusa dan bangsanya. Nasionalisme pula ialah perasaan cinta akan bangsa dan negara sendiri yang mendalam. Selain itu, nasionalisme bermaksud pergerakan untuk mencapai kebebasan dari segi ekonomi dan politik daripada kuasa asing.

Kesimpulannya, patriot, patriotik dan patriotisme lebih menjurus kepada negara. Nasionalis dan nasionalisme pula lebih menjurus kepada bahasa, bangsa dan negara.



5. Cikgu, "jawapan" ialah variasi kata kepada "jawaban", maka adakah "biadap" merupakan variasi kepada "biadab"?

Jawapan:
Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Dari segi variasi, biadap bukan variasai biadab. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan biadap.


6. Manakah yang betul? "murtabak" atau "martabak"? Kenapa banyak pengguna bahasa masih menggunakan "MURTABAK"?

Jawapan:
Perkataan yang tepat ialah martabak, iaitu sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cencang, telur, rempah, bawang, dan sebagainya. Banyak pengguna yang masih menggunakan perkataan “murtabak” tidaklah saya ketahui sebab-sebabnya.


7. JUSTERU ITU banyak digunakan oleh pengguna bahasa pada pangkal ayat, mengapakah kesalahan ini seperti virus bahasa yang sukar dirawat?

Jawaban:
Pengguna bahasa masih menggunakan rangkai kata “Justeru itu” kerana menganggap bentuk itu sebagai betul. Bukan itu sahaja, masih banyak pengguna yang menggunakan perkataan “Justeru” sebagai penanda wacana, sedangkan perkataan itu ialah kata hubung.


8. Apakah perbezaan antara "Oleh yang demikian" , "Oleh hal yang demikian" , "Oleh hal demikian"? Kenapa lain penulis lain penanda wacana? Yang mana BETUL?

Jawapan:
Demikian bermaksud begitu, begini, seperti itu atau seperti ini. Demikianlah halnya bermaksud beginilah halnya atau begitulah halnya. "Oleh hal yang demikian" pula bermaksud oleh hal yang begitu. "Dalam demikian itu" bermaksud ketika itu, dan tak demikian mahal bermaksud tidak begitu mahal;

Berdasarkan trasformasi pengguguran dalam ayat, “Oleh hal yang demikian” akan menjadi “ Oleh yang demikian”. Dengan berdasarkan transformasi ini, ungkapan “Oleh hal demikian” merupakan bentuk yang tidak baku atau tidak standard.


9. Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak tuan tentang hal ini.?

Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment