Thursday 8 December 2011

PENYALAHGUNAAN KATA PEMERI

Oleh Cikgu Azemi
Sumber : http://azemi09.wordpress.com/

Kategori: MUNSYI BAHASA

Penulis sering menemukan kesilapan pelajar semasa mereka menggunakan kata pemeri dalam ayat. Kebanyakan pelajar menggunakan alasan yang tidak munasabah apabila ditanya tentang perkara tersebut.

Lihat contoh penggunaan kata pemeri dalam ayat di bawah:

Mata pelajaran Bahasa Melayu adalah merupakan mata pelajaran yang penting.

ULASAN:

Ayat di atas salah kerana penggunaan frasa adalah merupakan.
Kebanyakan pelajar memberikan alasan bahawa frasa adalah merupakan tidak boleh digunakan kerana adalah dan merupakan sama dari segi makna atau fungsi.


Lihat pula contoh penggunaan kata pemeri dalam ayat di bawah ini:

Jawapan ini adalah berdasarkan buku teks.
Tindakan saya ini adalah berlandaskan ajaran Islam.
Semua perkara ini adalah merujuk kepada peraturan terbaru.
Perlakuan orang asing adalah diragui .

ULASAN:

Keempat-empat baris ayat di atas SALAH kerana penggunaan penggunaan kata pemerinya tidak tepat. Adakah ‘adalah’ sama dengan ‘berdasarkan’, ‘adalah’ sama dengan ‘berlandaskan’, ‘adalah’ sama dengan ‘merujuk’ atau adakah ‘adalah’ sama dengan ‘diragui’?

Semua alasan atau sebab yang diutarakan seperti di atas adalah SALAH.

SEBENARNYA, kesalahan ayat-ayat di atas bukanlah kerana alasan seperti di atas tetapi kerana kata pemeri ‘adalah’ TIDAK BOLEH DIGUNAKAN DI DEPAN KATA KERJA.
  • merupakan, berdasarkan, berlandaskan, merujuk, dan diragui ialah kata kerja.

Kata pemeri (ialah dan adalah) tidak boleh digunakan di depan kata kerja.


Ayat-ayat di atas itu sepatutnya ditulis seperti di bawah:

Mata pelajaran Bahasa Melayu adalah merupakan mata pelajaran yang penting.
Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang penting.


Jawapan ini adalah berdasarkan buku teks.
Jawapan ini berdasarkan buku teks.


Tindakan saya ini adalah berlandaskan ajaran Islam.
Tindakan saya ini berlandaskan ajaran Islam.


Semua perkara ini adalah merujuk kepada peraturan terbaru.
Semua perkara ini merujuk kepada peraturan baru.


Perlakuan orang asing adalah diragui .
Perlakuan orang asing itu diragui.

No comments:

Post a Comment