Friday, 9 December 2011
Thursday, 8 December 2011
ialah vs adalah
Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah
Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :
1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:
Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)
Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)
Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul
2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:
Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)
Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)
3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.
Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )
Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)
4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:
Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )
Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)
5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja
Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)
Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)
Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.
AYAT PASIF
Definisi
Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya:
i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif)
(subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek)
ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif)
(subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)
Jenis ayat pasif
1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’
Contohnya:
a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam.
b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka.
2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’.
a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan.
b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup.
c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi.
3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua
Contoh
a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam.
b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera.
c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama.
Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.
Menemui, Menemukan, Mempertemukan, Pertemuan, Penemuan
1. Ibu bapa menemui guru untuk membincangkan kemajuan anak-anak mereka.
2. Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu.
3. Rancangan Jejak Kasih telah menemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.
Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna yang berlainan bagi kelima-lima perkataan di atas:
a. menemui
Maksud
1. bertemu dengan, berjumpa dengan
2. pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat
Contoh ayat:
Calon doktor itu menemui ketua jabatan untuk mendapatkan maklumat.
b. menemukan
Maksud:
1. mendapati, menjumpai, bertemu dengan apa-apa yang dicari (yang tersembunyi, belum diketahui lagi)
2. mengalami, menderita
Contoh ayat:
Pasukan keselamatan menemukan beberapa bukti yang boleh mengaitkan tertuduh dengan kes itu.
c. mempertemukan
Maksud:
membawa supaya bertemu
Contoh ayat
Festival Kesenian itu telah mempertemukan karyawan seni dari seluruh Nusantara.
d. pertemuan
Maksud:
1. perihal bertemu, perjumpaan
2. tempat bertemu
3. perkumpulan, perhimpunan
Contoh ayat:
Kuala Lumpur terletak di pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang.
e. penemuan
Maksud:
1. perihal menemui atau menemukan
2. sesuatu yang didapati atau ditemui
Contoh ayat:
Penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis telah membawa penemuan sejenis vaksin yang dapat melawan virus H1N1.
Berdasarkan maksud yang diberi untuk kelima-lima perkataan di atas, jelas bahawa terdapat perbezaan makna dan cara penggunaannya. Kesalahan yang lazim dilakukan ialah penggunaan kata menemui pada tempat menemukan. Sebagai contoh, penggunaan menemui dalam ayat 2 di atas (Pihak polis menemui kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu) adalah salah dan membawa maksud bahawa polis bertemu dengan, mengunjungi, melawat atau menziarahi kereta. Ayat yang betul ialah; Pihak polis menemukan kereta yang ditinggalkan oleh penjenayah itu. Begitulah seterusnya, ayat yang betul bagi ayat 3 ialah; Racangan Jejak Kasih telah mempertemukan ibu dan anak yang telah lama terpisah.
Satu rumus mudah yang boleh dijadikan panduan untuk membezaka penggunaan menemui dan menemukan adalah seperti berikut:
menemui + siapa
menemukan + apa
Catatan:
Sama ada menemui, menemukan, mempertemukan, pertemuan, atau penemuan, kelima-lima perkataan ini membawa implikasi bahawa sekurang-kurangnya dua pihak atau lebih bertemu dalam sesuatu peristiwa atau proses tertentu dan ada kesan yang timbul akibat pertemuan itu. Kesan itu mungkin dari sudut perasaan, pemikiran, sikap, pandangan, persepsi, tanggapan dan sebagainya yang mungkin dapat mengubah suasana
DALAM vs DI DALAM vs KE DALAM
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang di dalam fikirannya. (X)
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur di dalam bahasa Melayu. (X)
Huraian:
Dalam boleh berfungsi sebagai kata adjektif, kata arah, dan kata sendi nama.
Sebagai kata adjektif, dalam menunjukkan tahap atau peringkat. Lazimnya kata penguat seperti 'amat, sangat, paling' dan sebagainya boleh diletakkan sebelum atau sesudah kata dalam, sebagai contoh:
a. Pengetahuannya tentang spesies katak sangat dalam.
b. Lubang yang baru digalinya dalam sangat.
Sebagai kata arah pula, dalam digunakan sesudah kata sendi nama di atau ke yang menunjukkan kedudukan, lokasi, arah, atau hala, sebagai contoh:
a. Aiman menyimpan permainannya di dalam sebuah kotak.
b. Penjahat itu masuk ke dalam sebuah rumah yang terbiar.
Sebagai kata sendi nama pula dalam digunakan di hadapan frasa nama yang membawa maksud 'lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang' seperti perkara, peristiwa, keadaan, hal, dan sebagainya, sebagai contoh:
a. Kes itu masih dalam penyiasatan pihak polis.
b. Kertas cadangan itu hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa terdapat perbezaan dan cara penggunaan antara dalam, di dalam, dan ke dalam. Oleh itu, dua ayat yang salah penggunaan dalam perlu dibetulkan menjadi:
1. Kenangan manis itu sentiasa terbayang dalam fikirannya.
2. Pekerja dari Bangladesh itu fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
BM UPSR Kertas 2 - Bahagian A ( 5 Ayat )

Membina 5 ayat berdasarkan gambar.
1. Ahmad tekun membaca buku sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR.
2. Semasa peperiksaan, Ahmad dapat menjawab setiap soalan di dalam kertas peperiksaan dengan penuh keyakinan.
3. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, Ahmad mendapat keputusan yang cemerlang.
4. Ahmad berasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana usaha yang bersungguh-sungguh menghasilkan kejayaan.
5. Ahmad mendapat hadiah sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran pada Hari Penyampaian Hadiah.
BM UPSR Kertas 2 - Bahagian C ( Nilai Murni @ Pengajaran )
Tafsiran Nilai Murni:BAIK HATI
- Belas kasihan (Bersimpati terhadap kesesusahan orang lain)
- Bertimbang rasa (Mengambil kira keperluan dan perasaan orang lain apabila
membuat sesuatu tindakan)
- Murah hati (Memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang
memerlukannya)
- Saling memahami (Sanggup memberi dan menerima pandangan serta
memahami perasaan dan keperluan masing-masing)
- Saling bermaafan (Sanggup meminta maaf dan memberi kemaafan)
BERDIKARI
- Berupaya bertindak sendiri (Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa
mengharapkan orang lain)
- Yakin pada diri sendiri (Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup
mencuba)
HEMAH TINGGI
- Kesopanan (Berbudi bahasa dan beradab dalam pergaulan)
- Mengakui kesalahan sendiri (Sedia mengaku kesilapan diri sendiri serta
sanggup menerima nasihat)
- Ramah mesra (Sedia bergaul mesra dengan semua orang)
HORMAT-MENGHORMATI
- Ibu bapa (Memuliakan dan mentaati ibu bapa)
- Ahli keluarga, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
(menunjukkan rasa hormat kepada kumpulan tersebut dengan memberi
layanan yang baik)
- Institusi kerajaan dan Negara (Menerima dan hormat kepada kerajaan
serta lambang-lambang kebesaran negeri)
- Kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan (Menghormati
kepercayaan dan adat resam semua keturunan di Malaysia)
- Patuh kepada undang-undang negara (Mematuhi undang-undang yang telah
ditentukan tanpa mengira di mana seseorang itu berada)
- Patuh kepada ketepatan masa (Menepati waktu dan menggunakan masa
dengan berfaedah)
KASIH SAYANG
- Sayang diri sendiri dan orang lain (Menyayangi diri sendiri dan orang lain)
- Sayang akan alam sekitar (Memelihara dan memulihara kehidupan flora dan
fauna untuk kesejahteraan hidup)
KEADILAN
- Adil (Membuat pertimbangan secara objektif, menyeluruh dan bersesuaian)
- Saksama (Tidak berat sebelah dalam sesuatu tindakan dan keputusan sama
ada dalam memberikan ganjaran atau hukuman)
KEBEBASAN
- Boleh melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar batas peraturan dan
undang-undang yang tersurat dan tersirat dalam keluarga, sekolah, komuniti,
masyarakat, negara dan agama
KEBERANIAN
- Berani mencuba (Berani melakukan sesuartu perkara yang baru dan
mencabar untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain dengan mengambil risiko
yang akan dihadapi)
- Berani kerana benar (Berani mempertahankan sesuatu yang diakui
sebenarannya dengan menunjukkan bukti yang nyata)
KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL
- Kebersihan diri (Kebersihan anggota yang perlu dijaga oleh setiap individu
untuk hidup sihat)
- Kebersihan persekitaran (Pemeliharaan alam sekeliling supaya rapi dan
bebas daripada kekotoran dan pencemaran)
- Kebersihan mental (Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu
diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain)
KEJUJURAN
- Amanah (Bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu tugas yang diberikan
dan dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain)
- Bercakap benar (Menyatakan perkara yang benar tanpa menokok tambah
atau berselindung)
- Ikhlas (Melakukan sesuatu dengan suci hati tanpa mengharapkan balasan)
KERAJINAN
- Daya usaha (Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisiatif, kreatif dan
inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti.)
- Dedikasi (Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga untuk perkara
yang berfaedah)
KERJASAMA
- Gotong-royong (Melakukan sesuatu tugas secara beramai-ramai dan
sukarela)
- Toleransi (Bertolak ansur serta dapat mengawal diri untuk mengelakkan
berlakunya perselisihan)
- Perpaduan (Bersefahaman dan bekerjasama di peringkat keluarga,
masyarakat, negara dan antarabangsa)
KESEDERHANAAN
- Pertuturan dan perlakuan yang sederhana (Bertutur dan berkelakuan yang
tidak melampaui batas serta menyinggung perasaan atau menimbulkan
kemarahan orang lain)
- Kesederhanaan dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan
orang lain (Membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya Memuaskan diri
sendiri dan orang lain)
KESYUKURAN
- Berterima kasih (Melahirkan perasaan untuk menunjukkan pengiktirafan dan
penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian)
PATRIOTISME
- Semangat cintakan negara (Mempunyai semangat yang tinggi untuk menjaga
keselamatan, nama baik negara)
RASIONAL
- Membuat pertimbangan (Berupaya mengambil kira baik buruknya sesuatu
perkara sebelum membuat keputusan)
SEMANGAT BERMASYARAKAT
- Bermuafakat (Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu
pekerjaan bagi kepentingan bersama)
- Kejiranan (Berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong, dan bekerjasama
dengan jiran tetangga)
- Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat (Menyedari masalah
masyarakat dan sedia berusaha menyelesaikannya)
Latihan Contoh 1:
Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.
Isi-isi cadangan:
- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.
Jawapan Contoh 1:
Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.
Latihan Contoh 2:
Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.
Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.
Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.
Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.
Isi Cadangan:
- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)
Jawapan Contoh 2:
Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.
Latihan Contoh 3:
Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.
- Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil
ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang
Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.
- Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana
mereka telah banyak berjasa kepada kita
Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.
- Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang
bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa
membesarkan kita.
Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.
- Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan
bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik
- Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati
kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita
Jawapan Contoh 3:
Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang. Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik. Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita.
Gempur Tatabahasa - KATA NAMA
ejaannya tetapi mempunyai makna yang berlainan ataupun tidak bermakna;
Seniwati Sarimah mengenakan cocok sanggul pada dandanan rambutnya. -SALAH
Seniwati Sarimah mengenakan cucuk sanggul pada dandanan rambutnya. - BETUL
b. Kesalahan penggunaan kata nama mengikut konteks ayat;
Wakil Rakyat itu melawat kawasan petempatan semua orang asli. -SALAH
Wakil Rakyat itu melawat kawasan penempatan semua orang asli. -BETUL
Gempur Tatabahasa - KATA GANTI NAMA DIRI
seseorang, suasana ketika bercakap, hubungan seseorang yang lain ketika
sedang berkata – kata:
Encik James pengurus di sini. Sekarang ini dia sedang berkursus di
Singapura -SALAH
Encik James pengurus di sini. Sekarang ini beliau sedang berkursus di
Singapura -BETUL
b. Kata ganti nama diri bentuk jamak tidak boleh digandakan;
“Marilah kita sertai mereka – mereka yang baru datang itu,” kata Salina -SALAH
“Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu,” kata Salina -BETUL
c. Kata ganti nama diri mereka dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk
kepada binatang, benda dan perkara/konsep;
Si Hitam sangat lembut bulunya. Ia juga berwarna menarik -SALAH
Sihitam sangat lembut bulunya dan berwarna menarik -BETUL
d. Kata ganti nama diri ketiga ia tidak boleh bertugas sebagai objek kepada kata
sendi atau kata kerja transitif;
Saya berasa seronok dapat berkawan dengan ia -SALAH
Saya berasa seronok dapat berkawan dengannya -BETUL
e. Kata ganti nama diri ketiga ia tidak boleh bertugas sebagai kata nama pelaku
dalam ayat pasif diri ketiga;
Beg ia telah diselongkar ketika bersenam di padang -SALAH
Begnya telah diselongkar ketika bersenam di padang -BETUL
f. Kata ganti diri ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ianya;
Penagihan dadah di kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang
ianya kian menular -SALAH
Penagihan dadah di kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang kian menular -BETUL
g. Kata ganti nama diri daku dan dikau tidak boleh digunakan sebagai objek
kecuali pada kata kerja transitif atau kata sendi yang berakhir dengan huruf ‘n’;
Ibuku sungguh tertarik hati kepada dikau kerana pekertimu itu -SALAH
Ibuku sungguh tertarik hati akan dikau dengan pekertimu itu -BETUL
h. Kata ganti nama diri singkat iaiti kau, ku, mu dan nya tidak boleh dieja
berasingan dengan kata lain yang menyertainya;
“Tolong kau ambilkan aku segelas air” kata Sri -SALAH
‘Tolong kauambilkan aku segelas air” kata Sri -BETUL
Sampah-sarap atau sampah sarap?
Mengikut kamus dewan, makna "sampah" adalah seperti yang berikut:
1. sampah
benda-benda yg dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll), sarap; ~ sarap bermacam-macam sampah; 2. sesuatu (benda atau orang) yg tidak berharga atau berguna; ~ dunia = ~ masyarakat orang yg hina;
Selain itu, perkataan "sarap" pula bermakna:
1. sarap
sampah (daun-daun kering, debu, dll): dia mengibas-ngibas ~ ke tepi dinding dgn kain; sampah ~ berbagai-bagai sampah;
Oleh hal yang demikian, perkataan yang mempunyai makna yang sama tidak memerlukan tanda "sempang" atau "-". Lihat beberapa contoh perkataan yang tidak mempunyai tanda "-" kerana bukan kata ganda.
(i) bukit bakau (betul)
*bukan "*bukit-bakau" kerana bakau dan bukit sama makna
(ii) bukit bukau (betul)
*bukan "*bukit-bukau" kerana bukit dan bukau sama makna
(iii) bersatu padu (betul)
*bukan "*bersatu-padu" kerana bersatu dan padu sama makna
(iv) kasih sayang (betul)
*bukan "*kasih-sayang" kerana kasih dan sayang sama makna
(v) bersangkut paut (betul)
*bukan "*bersangkup-paut" kerana sangkut dan paut mempunyai makna yang sama
(vi) sanak saudara (betul)
*bukan "*sanak-saudara" kerana sanak dan saudara sama makna
"HAL INI DEMIKIAN KERANA" tidak lagi gramatis, kenapa?
Oleh sebab adverba dimasukkan sebagai kata tugas, maka adverba tidak boleh menjadi inti dalam frasa subjek atau predikat. Kehadiran adverba hanyalah membawa tugas tertentu dalam ayat.
Oleh itu, ungkapan "Hal ini demikian kerana...” perlulah diubah seperti yang berikut:
(i) Hal ini berlaku demikian kerana....
(ii) Perkara ini terjadi demikian kerana...
(iii) Hal ini dikatakan demikian kerana...
Dengan berdasarkan ayat-ayat di atas, kata adverba `demikian’ bertugas sebagai penerang kepada kata kerja `berlaku’, `terjadi’, `dikatakan’, dan sebagainya. Kepada guru-guru di sekolah, harap terimalah perubahan ini sebagai satu daripada perkembangan bahasa Melayu. Janganlah menghukum pelajar jika mereka masih menggunakan ungkapan `Hal ini demikian kerana...’.
Untuk mendidik pelajar dan masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul, kita hendaklah menggunakan pendekatan yang bijaksana dan rasional.
Soal Jawab Topik Tatabahasa
1. Cikgu, perkataan "klik" perlu dibubuh imbuhan "menge-" menjadi "mengeklik"? atau "menklik" ? atau "mengklik"?
Jawapan:
Klik ialah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, kata ini dikecualikan daripada rumus PTKS. Dalam hal ini, apabila awalan me(N)- diimbuhkan kepada kata pinjaman, ejaan untuk kata pinjaman tersebut kekal. Sebagai contohnya, kata kritik apabila menerima awalan meng- akan menjadi mengkritik. Begitu jugalah halnya dengan kata klik. Apabila kata klik menerima awalan meng-, kata itu akan menjadi mengklik, bukan mengeklik. Selain itu, rumus bahasa Melayu juga menetapkan bahawa kata yang bermula dengan huruf "k" seperti katalog, kategori, dan sebagainya akan menerima awalan meng-, bukan men-. Oleh itu, ejaan menklik tidak tepat.
2. Apakah perbezaan penggunaan "marabahaya" dan "berbahaya" mengikut pendapat Cikgu?
Jawapan:
Marabahaya bermaksud bermacam-macam-macam bahaya atau bencana, manakala berbahaya bermaksud ada bahaya atau boleh mendatangkan bahaya. Merbahaya pula ialah variasi berbahaya yang tidak baku.
3.Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul tak? Bolehkah dalam satu ayat wujudnya 2 atau 3 kata ganda?
Jawapan:
Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu perkataan "kanak" dan "masing" tidak boleh berdiri dengan sendiri.
4. Cikgu, huraikan perbezaan antara "patriotik", "patriotisme" "nasionalis", "nasionalisme". Terima kasih.
Jawapan:
Patriot bermaksud orang yang mencintai atau mempertahankan kedaulatan negaranya. Patriotik bermaksud orang yang mempunyai sifat cinta akan negaranya.
Patriotisme pula ialah semangat cinta yang kuat akan negaranya.
Nasionalis ialah pencinta bahasa atau orang yang mencintai nusa dan bangsanya. Nasionalisme pula ialah perasaan cinta akan bangsa dan negara sendiri yang mendalam. Selain itu, nasionalisme bermaksud pergerakan untuk mencapai kebebasan dari segi ekonomi dan politik daripada kuasa asing.
Kesimpulannya, patriot, patriotik dan patriotisme lebih menjurus kepada negara. Nasionalis dan nasionalisme pula lebih menjurus kepada bahasa, bangsa dan negara.
5. Cikgu, "jawapan" ialah variasi kata kepada "jawaban", maka adakah "biadap" merupakan variasi kepada "biadab"?
Jawapan:
Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Dari segi variasi, biadap bukan variasai biadab. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan biadap.
6. Manakah yang betul? "murtabak" atau "martabak"? Kenapa banyak pengguna bahasa masih menggunakan "MURTABAK"?
Jawapan:
Perkataan yang tepat ialah martabak, iaitu sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cencang, telur, rempah, bawang, dan sebagainya. Banyak pengguna yang masih menggunakan perkataan “murtabak” tidaklah saya ketahui sebab-sebabnya.
7. JUSTERU ITU banyak digunakan oleh pengguna bahasa pada pangkal ayat, mengapakah kesalahan ini seperti virus bahasa yang sukar dirawat?
Jawaban:
Pengguna bahasa masih menggunakan rangkai kata “Justeru itu” kerana menganggap bentuk itu sebagai betul. Bukan itu sahaja, masih banyak pengguna yang menggunakan perkataan “Justeru” sebagai penanda wacana, sedangkan perkataan itu ialah kata hubung.
8. Apakah perbezaan antara "Oleh yang demikian" , "Oleh hal yang demikian" , "Oleh hal demikian"? Kenapa lain penulis lain penanda wacana? Yang mana BETUL?
Jawapan:
Demikian bermaksud begitu, begini, seperti itu atau seperti ini. Demikianlah halnya bermaksud beginilah halnya atau begitulah halnya. "Oleh hal yang demikian" pula bermaksud oleh hal yang begitu. "Dalam demikian itu" bermaksud ketika itu, dan tak demikian mahal bermaksud tidak begitu mahal;
Berdasarkan trasformasi pengguguran dalam ayat, “Oleh hal yang demikian” akan menjadi “ Oleh yang demikian”. Dengan berdasarkan transformasi ini, ungkapan “Oleh hal demikian” merupakan bentuk yang tidak baku atau tidak standard.
9. Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak tuan tentang hal ini.?
Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.
Sekian, terima kasih.
Cakna Bahasa : KESALAHAN IMBUHAN
CONTOH KESALAHAN IMBUHAN DAN PEMBETULANNYA BERDASARKAN RUMUS TATABAHASASALAH BETUL
mengenengahkan - mengetengahkan
mengenepikan - mengetepikan
beserta -berserta
memperolehi -memperoleh
mempastikan -memastikan
mengkagumkan -mengagumkan
mengwujudkan -mewujudkan
merbahaya -berbahaya
mengswastakan -menswastakan
nasionalisma -nasionalisme
patriotisma -patriotisme
pesaraan -persaraan
perlaksanaan -pelaksanaan
perlantikan -pelantikan
perletakan -peletakan
mekanisma -mekanisme
menakrifkan -mentakrifkan
memperuntukan -memperuntukkan
peruntukkan -peruntukan
perlabelan -pelabelan
menakibatkan -mengakibatkan
pengwartaan -pewartaan
perlesenan -pelesenan
pemerosesan -pemprosesan
pengembala -penggembala
pengemblengan -penggemblengan
organisme -organisma
berkerjasama -bekerjasama
beserban -berserban
memperindahkan -memperindah
memperluaskan -memperluas
memperlebarkan -memperlebar
memperhebatkan -memperhebat
mempertajamkan -mempertajam
memperteguhkan -memperteguh
memperjernihkan -memperjernih
mempertingkat -mempertingkatkan
mempersembah -mempersembahkan
memperakui -memperakukan
memperhalusi -menghalusi
kesesakkan -kesesakan
kebanyakkan -kebanyakan
menggalakan -menggalakkan
persisiran -pesisiran
pengkebumian -pengebumian
memperbaiki -membaiki
memperkuasai -menguasai
memperdalami -mendalami
mempersetujui -menyetujui
keburukkan -keburukan
kebaikkan -kebaikan
perlancaran -pelancaran
mengsabotaj -mensabotaj
mengalakkan -menggalakkan
menyintai -mencintai
memasukan -memasukkan
Cakna Bahasa :Kesalahan Bahasa pada Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri
Sebagai contoh:
SALAH - BETUL
a. Ramadhan – Ramadan
b. di bulan puasa – pada bulan puasa
c. murtabak – martabak
d. hadiah percuma – hadiah
e. bazaar – bazar
f. satey/satay – sate
g. nasi baryani – nasi beriani
h. nasi campor – nasi campur
i. di hari raya – pada hari raya
j. balik kampung – balik ke kampung
k. Aidil Fitri – Aidilfitri
l. saling bermaaf-maafan – saling bermaafan/bermaaf-maafan
m. saling bersalam-salaman – saling bersalaman/bersalam-salaman
n. saling berkunjung-kunjungan – saling berkunjungan/berkunjung-kunjungan
o. buffet – bufet
p. bubur lambok – bubur lambuk
q. selamat hariraya – selamat hari raya
r. bahulu – baulu
Cakna Bahasa : MEMBERI DAN MEMBERIKAN
AYAT YANG SALAH
1. Saya memberi susu kepada kucing itu.
2. Mereka memberi pandangan tentang perkara tersebut.
3. Dia memberi sepotong kek kepada saya.
4. Saya diberikan sehelai kertas.
5. Mereka diberikan peringatan yang terakhir.
AYAT YANG BETUL
1. Saya memberikan susu kepada kucing itu.
2. Mereka memberikan pandangan tentang perkara tersebut.
3. Dia memberikan sepotong kek kepada saya.
4. Saya diberi sehelai kertas.
5. Mereka diberi peringatan yang terakhir.
Cakna Bahasa :MENGISI DAN MENGISIKAN
* Pelajar-pelajar diminta mengisi maklumat peribadi dalam ruang pada borang.
* Pekerja itu sedang mengisikan botol-botol kosong dengan minyak masak.
Huraian:
Kedua-dua ayat di atas salah kerana mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi sementara mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang.
AYAT YANG BETUL
1) Pelajar-pelajar diminta mengisikan maklumat peribadi dalam ruang pada borang.
2) Pekerja itu sedang mengisi botol-botol kosong dengan minyak masak.
Cakna Bahasa : PETEMPATAN ATAU PENEMPATAN
AYAT YANG SALAH
1. *Kawasan penempatan di pinggir pantai itu musnah dilanda tsunami baru-baru ini.
2. *Petempatan pendatang tanpa izin telah disediakan sementara menunggu penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Huraian:
Kedua-dua ayat di atas salah penggunaannya. Petempatan bermaksud “kawasan yang baharu dibuka untuk didiami orang”, manakala penempatan bermaksud “perihal menempatkan”.
AYAT YANG BETUL
a) Kawasan petempatan di pinggir pantai itu musnah dilanda tsunami baru-baru ini.
b) Penempatan pendatang tanpa izin telah disediakan sementara menunggu penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Cakna Bahasa: Kekeliruan Penanda Wacana
Dalam bahasa Melayu, kata hubung sememangnya dapat digunakan sebagai penanda wacana jika penggunaannya tepat dari segi makna dan fungsi atau tujuan. Sila lihat jawapan contoh rumusan yang di bawah ini.
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.
Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Justeru, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Tambahan pula, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.
Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Sementelahan, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.
Ulasan:
Perkataan `justeru’ bermaksud malahan. Perkataan `tambahan pula’ dan `sementelahan’ bermaksud lebih-lebih lagi. Ayat yang tepat untuk ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:
1. Saya tidak pernah memperkecil kebolehannya, justeru saya selalu menyokongnya dalam setiap perlawanan.
2. Pemain pasukan itu sangat lincah, tambahan pula tendangannya sering mengelirukan pihak lawan.
3. Kita hendaklah meneruskan serangan yang bertubi-tubi ke pintu gol lawan kerana pasukan kita telah ketinggalan, sementelahan masa permainan tinggal beberapa minit lagi.
Ada sesetengah pengguna bahasa menggunakan perkataan `justeru’ untuk maksud `oleh itu’. Namun demikian, pihak penyusun Kamus Dewan masih belum memberikan makna `justeru’ sebagai `oleh itu’. Oleh hal yang demikian, elakkanlah penggunaan perkataan tersebut sebagai penanda wacana.
Frasa `tambahan pula’ yang berfungsi sebagai kata hubung boleh digunakan sebagai penanda wacana dalam perenggan. Sila lihat contoh yang berikut:
`Pihak kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana remaja yang terlibat dalam aktviti perlumbaan motosikal haram. Tambahan pula, aktiviti ini semakin lama semakin leluasa jika aktiviti mereka dibiarkan. Melalui tindakan yang tegas, mereka akan berasa bimbang untuk mengulangi kesalahan tersebut kerana sekali kena dua kali jalan tahu. Sebagai contohnya, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan tersebut, lesen memandu mereka hendaklah digantung selama setahun atau dikenakan penjara jika melibatkan kemalangan. Dengan cara ini, mereka akan meninggalkan kegiatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang.
Frasa `tambahan pula’ juga tidak boleh digunakan di awal perenggan karangan sebagai penanda wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut berfungsi untuk memberikan penjelasan lanjut tentang maklumat atau ayat isi sebelumnya. Selain itu, isi yang diperkatakan dalam perenggan itu berbeza dengan isi dalam perenggan sebelumnya. Sebagai contohnya:
Tambahan pula, pihak kerajaan hendaklah mempergiat kempen keselamatan jalan raya sama ada di media massa atau di media cetak. Kempen seperti ini sudah tentu akan dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya bahawa nyawa diri sendiri dan orang lain sangat berharga. Sebagai contohnya, pengguna perlu dipertontonkan kes-kes kemalangan negeri yang menyebabkan kematian dari masa ke masa menerusi televisyen. Melalui cara ini, mereka akan menyedari bahawa mereka perlu menyayangi nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.
Penanda wacana yang sesuai untuk perenggan di atas ialah `selain itu’, `di samping itu’, `bukan itu sahaja’, dan sebagainya.
Jawapan yang tepat:
Petikan membincangkan faktor-faktor meningkatnya toksin di dalam tubuh manusia.
Puncanya ialah kebanyakan makanan yang dimakan mempunyai sifat semula jadi yang ber asid. Selain itu, makanan akan menjadi toksik sebagai akibat cara makanan itu diproses dan ditambah pula dengan bahan-bahan tambahan untuk menjadikan makanan itu enak. Di samping itu, cara pengendalian makanan yang tidak bersih dan pengendali makanan yang berpenyakit juga boleh menjadikan makanan bertoksin. Faktor lain yang menyebabkan keracunan berlaku ialah persekitaran yang kotor.
Masalah ini akan dapat diatasi sekiranya kita sentiasa memastikan makanan disimpan dengan baik dan amalan membasuh tangan dipraktikkan. Selain itu, jenis makanan yang diambil juga perlu diberi perhatian agar tidak berlaku keracunan.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menangani kandunghan toksin di dalam badan supaya tahap kesihatan kita tidak terancam.
Subscribe to:
Posts (Atom)